19 January 2010

SANTAU

Santau adalah istilah penyakit yang terkenal dalam masyarakat Melayu, khususnya
di Nusantara. Penyakit yang tergolong dalam nama santau itu wujud. Penyakit itu
biasanya dikenali berdasarkan tanda-tanda zahir yang dialami oleh pesakit. Contohnya
batuk berpanjangan, berbulan-bulan, kadang-kadang mengambil masa bertahun,
dengan menggunakan pelbagai ubat, tetapi batuk tidak hilang. Ada juga yang batuk
mengeluarkan darah, hilang selera makan, badan kurus kering, kulit berkedut-kedut,
kuku kebiru-biruan, disekeliling mata juga kebiru-biruan, tidak bermaya, sejuk kaki
tangan khususnya pada petang hari, murung, tidak ceria dan sebagainya.

Penyakit sedemikian tidak semestinya santau. Ia boleh berlaku sedemikian dengan
sebab fizikal yang lain, mungkin kerana dia bermasalah penyakit paru-paru rosak atau
tonsil kronik atau sakit TB, keracunan dan sebagainya. Pesakit jenis ini biasanya akan
terubat dengan doktor pakar. Mungkin kerana sudah diubati tetapi tidak sembuh, maka
mereka beralih kepada rawatan alternatif. Salah satu yang sering dirujuk ialah bomoh
santau atau perawat-perawat lain. Kebanyakan pengubat akan memberitahu pesakit itu
bahawa dia terkena penyakit santau. Ertinya ada orang bagi dia makan sesuatu, atau
dia memakan ramuan yang di dalamnya ada santau.

Apa dia santau? Saya sendiri tidak tahu apa dia sebenarnya. Cuma hasil daripada
percakapan banyak orang, kononnya santau diperbuat dari bahan yang amat-amat
bisa. Dikatakan ia diperbuat daripada bulu ulat bulu yang mati merana (meragan),
dicampur dengan bisa ular, lipan atau kala jengking dan dicampur dengan kaca halus
daripada bal lampu kalimatang yang ditumbuk halus. Selepas itu ia dikatakan melalui
proses adunan tersendiri dan dikeringkan, dijadikan serbuk untuk diletakkan dalam
makanan atau minuman. Ini adalah cerita lisan, tiada orang yang boleh mengesahkan
ia adalah santau yang sebenarnya.

Kalaupun ada yang membuat santau, tentulah dia merahsiakannya dan tidak
mungkin dia mendedahkan rahsianya kepada orang. Adakah orang yang sanggup
membuatnya untuk menganiayai orang lain? Semata-mata dengan sedikit bayaran
dunia, tidak kah mereka takut kepada dosa dan sebagainya?

Zaman ini manusia menjadi makhluk yang serba boleh, serba jadi. Misalnya
mereka sanggup mendera isteri, mendera orang gaji, membunuh diri, keluarga dan
rakan, serta melakukan pelbagai kemusnahan. Manusia menjadi haiwan, malah lebih
teruk daripada haiwan. Apakah itu (menggunakan santau) tidak dikatakan sebagai
manusia kerana wang atau kerana hendak memuaskan hati?

Oleh santau adalah salah satu daripada kekejaman manusia. Yang penting tanda-tanda
penyakit tadi jelas, orang itu sakit, setiap sakit ada ubatnya. Berubatlah dengan cara
yang betul, apabila Allah bukakan ruang kesembuhan, insya-Allah kena ubatnya,
penyakit akan sembuh. Sering kita dengar ada orang yang boleh membeli santau
daripada orang tertentu dan sebagainya, itu adalah kata orang, anda jangan mudah
mempercayainya. Oleh yang demikian, berdoalah kepada Allah agar kita selamat dari
kedengkian manusia.

Wallahu a'lam.

oleh: Mua’lij Mustakim bin Mohd Najib Al-Kelantani

0 Comments:

Pelbagai Jenis Za'faran

Photobucket

Photobucket

Photobucket